24 April 2017 - 19:41
Moscow Sedia Hantar Tentera Darat Ke Syria: Sumber

Sumber-sumber tentera Syria berkata bahawa Moscow telah memaklumkan Damysik berhubung kesediaan mereka untuk menghantar pasukan tentera daratnya ke negara Arab yang dilanda konflik itu dalam rangka membantu tentera kerajaan yang sibuk memerangi kumpulan militan tajaan pihak asing.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Sumber-sumber tentera Syria berkata bahawa Moscow telah memaklumkan Damysik berhubung kesediaan mereka untuk menghantar pasukan tentera daratnya ke negara Arab yang dilanda konflik itu dalam rangka membantu tentera kerajaan yang sibuk memerangi kumpulan militan tajaan pihak asing.

Sumber-sumber yang tidak dinamakan itu pada hari Isnin mendedahkan bahawa pasukan tentera khas Rusia telahpun bersedia untuk ditempatkan di kawasan yang mana tentera Damsyik sedang sibuk memerangi kumpulan pengganas.

Mereka (sumber) turut menyatakan bahawa aspek teknikal perancangan itu telahpun dilakarkan sebelum ini dan bahawasanya perkara itu akan diimplementasikan sejurus selepas kerajaan Damsyik membuat permintaan rasmi kepada Rusia. Presiden Rusia, Vladimir Putin pula dijangkakan akan menandatangani dekri untuk meneruskan rancangan itu apabila menerima permintaan Damsyik.

Pada awal bulan ini, surat khabar Rusia, Izvestia melaporkan bahawa angkatan tentera darat Rusia sedang membuat persiapan untuk mengembalikan keamanan di beberapa wilayah Syria.

Surat khabar harian itu turut mengatakan bahawa unit tentera Rusia akan turut membantu pasukan sukarelawan tempatan untuk mengembalikan keamanan dan kestabilan di bandar Mahardah yang terletak sekitar 23 kilometer dari Hama. Pada ketika ini, kumpulan militan Takfiri sedang dikepung dari semua arah di kawasan tersebut.

Pengerusi Majlis Mesyuarat Pertahanan bagi Dewan Tinggi Rusia, Viktor Ozerov memberitahu Sputnik pada 22 April bahawa Moscow tidak akan teragak-agak untuk membekalkan sistem pertahanan udara kepada Damsyik sejurus selepas perjanjian bilateral ditandantangani oleh kedua-dua pihak.

Kenyataan itu dibuat sehari selepas Presiden Syria, Bashar Assad berkata bahawa Moscow dan Damsyik sedang berbincang untuk meningkatkan perkakasan pertahanan udara di negara Arab itu.

/315